Saturday, 20 July 2019

KARNIVAL 20 TAHUN PENUBUHAN YOKUK 2019



          Seramai 17 murid PPKI Disleksia SK Kamil (1) menyertai Karnival 20 Tahun Penubuhan YOKUK. Tema bagi tahun ini adalah Superhero "Avengers". Bukan main susah untuk mendapatkan pakaian yang mengikut tema ini. Namun dengan kesungguhan ibubapa, maka ramai dikalangan mereka telah bersusah payah membeli atau menyewa pakaian tersebut demi menjayakan program ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibubapa yang begitu sporting dengan kehendak atau tema kali ini. Saya masih ingat lagi, dua tahun lepas (2017), Karnival Yokuk bertemakan Kartun, maka bersusah payah kami menyediakan pakaian, peralatan bertemakan 'spongebob'. Tahun lepas (2018) bertemakan bola sempena piala dunia. Bukan main susah untuk mencari pakaian berkaitan bola untuk murid-murid yang bersaiz kecil.

          Tahniah sekali lagi kepada ibubapa yang begitu komited dan berusaha untuk mencapai hasrat kami dan YOKUK tahun ini. Semoga tahun hadapan, kami berharap ibubapa sentiasa dan terus memberi kepercayaan kepada kami.


          Terima kasih tidak terhingga juga kepada Datin Suliana yang merupakan tulang belakang YOKUK serta juga En Azran selaku wakil JPN Kelantan di dalam program YOKUK kali ini.


          Karnival YOKUK pada tahun ini amat bertuah kerana telah dirasmikan sendiri oleh Yang Berbahagia Cik Puan Sofie Louise Johansson, isteri kepada YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Mahkota Kelantan


           SK Kamil (1) juga telah diberi tugasan yang berat dimana perlu mempersiapkan satu pasukan dikir barat dari kalangan pelatih YOKUK serta murid PPKI dari SK Kamil (1) untuk dipersembahkan kepada Isteri YTM, Tengku Mahkota Kelantan. Alhamdulillah, segala cabaran dapat ditempuhi dengan kesabaran dan kesungguhan. Akhirnya impian terlaksana dan berjaya menghiburkan pengunjung. Terima kasih juga kepada pendikir OKU kita iaitu 'Ja Seri Peraksi' yang melaksanakan tugasan dengan baik.


          Sampai berjumpa lagi Karnival YOKUK 2020....


Wednesday, 17 July 2019

PERUJIAN LENCANA KERIS GANGSA & PERAK PENGAKAP KANAK-KANAK PASIR PUTEH







          Perujian Lencana Keris Gangsa dan Perak untuk PKK Pasir Puteh bermula 16-18 Julai 2019. Peserta kali ini memang ramai melebihi 150 orang. Hari kedua penulis telah bertindak sebagai peruji Kawad Kaki dan Isyarat Sulit Pengakap.


          Alhamdulillah, segala tugasan yang diberikan dapat penulis laksanakan dengan sehabis baik. Sebagai seorang guru, kita bukan hanya mengajar sesuatu ilmu, tetapi juga secara tidak langsung mendidik murid supaya menjadi orang yang berguna bukan hanya pada diri sendiri, tetapi juga pada keluarga dan masyarakat.




          Tahniah kepada murid-murid yang memilih untuk menjadi pengakap. Anda sebenarnya seorang yang beruntung kerana pastinya anda akan terdidik secara natural atau semulajadi apabila menyertai pengakap.....dapat berkhemah.....meredah hutan....ikhtiar hidup.....masakan rimba.....dapat rehatkan minda dari kesibukan bandar.....mengenal pokok-pokok hutan....mengetahui adab-adab memasuki hutan.....memanjat pokok......dan lain-lain

Sunday, 18 November 2018

MAJLIS APREASIASI PENDIDIKAN KHAS 2018


Pada Rabu 14 November 2018, Unit Pendidikan Khas JPN Kelantan telah mengadakan satu majlis penghargaan atau lebih dikenali sebagai Majlis Apresiasi Pendidikan Khas yang berlangsung di Dewan Besar JPN Tunjung, Kelantan.

PPKI SK kamil (1) Pasir Puteh telah mencalonkan 8 kategori anugerah yang dipertandingkan dan alhamdulillah kami memenangi 5 daripadanya. Ia merupakan kejayaan terbaik dan terunggul pernah kami perolehi semenjak 10 tahun penubuhan PPKI di SK Kamil (1)

Antara anugerah yang telah dimenangi oleh PPKI SK Kamil (1) adalah:

1. Anugerah PPKI Cemerlang (Pengurusan Badan Uniform) - kategori SR
2. Anugerah PPKI Cemerlang (Pengurusan Kelab dan Persatuan) - kategori SR
3. Anugerah Kepimpinan Murid Berkeperluan Khas - kategori SR
4. Anugerah PPKI Cemerlang Kokurikulum - kategori SR
5. Anugerah Murid Inklusif Cemerlang - kategori SR

Satu lagi anugerah yang dimenangi tanpa pencalonan adalah sekolah terbaik perlaksanaan Inklusif (PPI) kerana mencapai 100% Inklusif iaitu melebihi daripada sasaran 45% KPI Kebangsaan.

Tahniah diucapkan kepada yang memberi tunjuk ajar serta panduan seperti:
1. Guru Besar SK Kamil (1) - Samsul Bahari b Mohd Jali
2. PKP - Rohadi b Mat Daud
3. PK KO - Pawanchik b Mohd Zain (Mantan)
5. Penolong Pegawai PPD - Mahadir Kamisan
4. Penyelaras PPKI - Mohd Zaidi Mohamed Nawi
5. Guru-guru PPKI dan PPM
6. Guru-guru Pengakap Kumpulan 14 SK Kamil (1)
7. Ustaz Azhan (Jurulatih Nasyid PPKI)
8. lain-lain penyumbang